SEMASA

YIDE MEMPERKENALKAN KUPON INFAQ

PETALING JAYA, 08 MEI 2017; Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) adalah sebuah agensi yang dipertangungjawabkan menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan. Aktiviti ini meliputi memberi sumbangan dan barangan secara ‘Ad-Hoc’ kepada golongan sasaran dalam bentuk kewangan tunai serta barangan keperluan harian seperti pakaian, kelengkapan keperluan diri dan lain-lain keperluan harian kepada mangsa-mangsa yang ditimpa musibah.

Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memberi taklimat garis panduan pelaksanaan kupon infaq kepada 637 orang yang terdiri daripada Ketua Amil Fitrah dan Penolong Amil Fitrah Daerah Petaling di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer, Petaling Jaya.

Taklimat telah disampaikan oleh En. Muhammad Hafiz bin Haji Bahari (gambar), Pegawai Perhubungan Korporat YIDE menyatakan bahawa, infaq atau sumbangan yang dikeluarkan melalui kupon sebanyak RM 2.00 adalah pertama kali diadakan dalam usaha mencari dana tambahan  membantu masyarakat Negeri Selangor khususnya kepada 3 aspek utama iaitu bantuan hal ehwal malapetaka/musibah, Perkhidmatan Rawatan Hemodialisis dan Program-program untuk anak yatim. 3 skop utama ini bersesuaian dengan prinsip penubuhan YIDE adalah sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan bagi membantu dan meringankan setiap beban individu yang memerlukan di negeri Selangor.

“Tambah beliau lagi, kupon infaq ini juga akan diedarkan kepada semua Ketua Amil dan Penolong Ketua Amil di Daerah Petaling dahulu buat masa ini sebagai ‘Pilot Projek’ dan akan diedarkan ke seluruh Daerah Negeri Selangor kelak. Pembayar zakat fitrah boleh menyumbang semasa menunaikan kewajipan zakat dengan mendapatkan Kupon Infaq YIDE bernilai RM 2.00 yang akan diedarkan bersama Kupon Zakat Fitrah kelak.”

“Kupon infaq ini adalah satu alternatif kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan kepada individu yang mengalami musibah atau malapetaka, Perkhidmatan Rawatan Hemodialisis dan Program-program untuk anak yatim. Sumbangan orang ramai akan terus disalurkan mengikut skop keperluan tersebut. Umum kita mengetahui, terdapat banyak individu yang meminta sumbangan dengan menggunakan cara yang salah, seperti memaksa anak-anak kecil meraih simpati dan yang mana kita sendiri tidak mengetahui aliran wang yang didermakan adalah untuk anak-anak kecil tersebut atau hanya untuk individu yang berkepentingan. Saya menyeru kepada orang ramai supaya menyalurkan sumbangan kepada saluran yang benar-benar memerlukan dan pastikan orang ramai dapatkan keratan kupon infaq YIDE setelah melaksanakan infaq kepada Amil-Amil Zakat yang dilantik” Katanya selepas majlis taklimat tersebut.

Menurut Ustaz Mohd Noriman Nor Hisyam, Pegawai Perhubungan Masjid Daerah Petaling, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kupon infaq ini adalah satu inisiatif YIDE yang baik dalam membantu masyarakat negeri Selangor khususnya dan ia juga sebagai alternatif bagi orang ramai untuk menyumbang kepada yang memerlukan.

Dalam majlis tesebut juga, pihak Lembaga Zakat Selangor turut juga mengadakan taklimat kepada Ketua Amil Fitrah dan Penolong Amil Fitrah Daerah Petaling dalam persiapan menghadapi bulan Ramadan akan datang.

Turut hadir adalah En. Md Ariffin bin Jaafar, Pengurus Operasi  Bahagian Sumbangan dan Promosi YIDE dan Ustaz Iswaridin Bin Derus, Ketua Cawangan Lembaga Zakat Selangor Daerah Petaling

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *