SEMASA

YIDE DAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR HULUR SUMBANGAN

KAPAR, 28 OGOS 2017; Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dan Kerajaan Negeri Selangor telah menyampaikan sumbangan ‘Ad-Hoc’ wang tunai dan barang keperluan asas kepada 2 buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Jalan Hamzah Alang 9, Taman Kapar Ria, baru-baru ini.

Sumbangan telah disampaikan oleh Md Arifin Jaafar, Pengurus Operasi Bahagian Sumbangan dan Promosi  YIDE serta YB Puan Dr. Daroyah Alwi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga sebagai satu inisiatif YIDE dan Kerajaan Negeri dengan memberi bantuan khususnya kepada rakyat atau organisasi dalam negeri Selangor bagi meringankan beban setiap mangsa yang terjejas akibat musibah ini.

Sementara itu, Daroyah Alwi mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat membantu mangsa kebakaran ini dan mengharapkan pihak keluarga mangsa tabah menghadapi ujian yang melanda ini.

“Buat masa ini, mangsa kebakaran telah ditempatkan di Dewan Sri Kerayong dan InsyaAllah akan ada lagi bantuan dari pihak-pihak yang lain,” katanya.

Kebakaran yang melibatkan 4 unit teres dan terdiri daripada 2 unit kosong dan 2 unit berpenghuni.

Turut hadir Bersama dalam menyalurkan sumbangan adalah wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pihak Pengurusan Bencana Negeri Selangor dan juga Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Kapar.

Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) adalah sebuah agensi di bawah MAIS yang dipertangungjawabkan menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan di dalam negeri Selangor Darul Ehsan. Aktiviti ini meliputi memberi sumbangan dan barangan secara ‘Ad-Hoc’ kepada golongan sasaran dalam bentuk kewangan tunai dan barangan keperluan harian seperti pakaian, kelengkapan keperluan diri dan lain-lain keperluan harian kepada mangsa-mangsa yang ditimpa musibah dan malapetaka.

Selain memberi bantuan bencana kepada rakyat negeri Selangor, YIDE juga berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim di negeri Selangor dan menawarkan Perkhidmatan Rawatan Hemodialisis melalui Pusat Dialisis MAIS yang mempunyai 6 cawangan dalam negeri Selangor.

YIDE akan terus menyampaikan sumbangan kebajikan kepada rakyat negeri Selangor dalam menjadikan negeri Selangor sebuah negeri yang berkebajikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *