SEMASA

YIDE PRIHATIN; HULUR SUMBANGAN DAN KHIDMAT KAUNSELING KEPADA WARIS TRAGEDI MANGSA KEBAKARAN PUSAT TAHFIZ

PETALING JAYA, 19 SEPTEMBER 2017 ; Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) adalah sebuah agensi dibawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dipertangungjawabkan menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan di dalam negeri Selangor Darul Ehsan. Aktiviti ini meliputi memberi sumbangan dan barangan secara ‘Ad-Hoc’ kepada golongan sasaran dalam bentuk kewangan tunai serta barangan keperluan harian seperti pakaian, kelengkapan keperluan diri dan lain-lain keperluan harian kepada mangsa-mangsa yang ditimpa musibah.

Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) telah menyantuni 2 buah keluarga dan waris mangsa yang terlibat dalam tragedi Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat pada Jumaat yang lepas. Dalam lawatan mahabbah kepada keluarga waris, YIDE telah menyalurkan bantuan kewangan kepada waris keluarga serta khidmat kaunseling kepada ibu bapa mangsa yang terlibat.

Antara waris mangsa yang ditemui, Helmi bin Khalil adalah bapa kepada Allahyarham Umar Al-Khatab,6 tahun menyatakan, beliau redho dengan ketentuan Allah S.W.T dan beliau menyifatkan bahawa anaknya adalah seorang yang sangat manja dan telah menghafaz 2 juzuk Al-Quran sepanjang 6 bulan dimasukan di pusat tahfiz tersebut.

Tambah beliau, adik kepada Allahyarham Umar iaitu Muhammad Nasrullah yang kini berusia 4 tahun juga akan dimasukan ke pusat tahfiz tersebut demi meneruskan delegasi Allahyarham abangnya yang tidak kesampaian untuk menjadi seorang huffaz. Beliau turut berbangga dengan Arwah anaknya seawal usia 6 tahun memohon untuk belajar al-quran di pusat tahfiz tersebut dan arwah anaknya adalah yang paling muda di situ.

“Sehari sebelum kejadian beliau telah hadir menemui Allahyarham Umar Al Khatab yang mana menjadi rutin harian untuk melihat anaknya dan menghantar baju yang bersih dan mengambil baju kotor memandangkan usia Allahyarham baru menjangkau 6 tahun dan masih lagi perlukan bantuan beliau untuk menyesuaikan diri lagi.” Katanya ketika ditemui di kediaman beliau dekat Kg. Dato’ Mufti Shuib, Ampang

Sementara itu, waris lain yang ditemui adalah Farah Wahidah Binti Wahid adalah ibu kepada Allahyarham Muhammad Aiman Ramzanudin, 12 tahun. Beliau juga adalah orang kelainan upaya (OKU) lebih 5 tahun, menyifatkan Allahyarham sebagai anak yang manja dan seorang yang baik. Kini kehilangan Allahyarham Muhammad Aiman memberi kesan kepada adik beradik yang lain kerana mereka sangat rapat antara mereka.

Wahid Abdul Rashid, 65 Datuk kepada Allahyarham Aiman turut menyatakan bahawa semasa cuti Raya Haji tempoh hari arwah akan tidur di ruang tamu bersama adik beradik yang lain dan saya melihat setiap malam arwah akan cium dahi adik-adiknya yang lain sebelum tidur yang mana sebelum ini arwah tidak pernah melakukan. Ini memberi kesan kepada saya dan keluarga akan kehilangannya.” Katanya ketika ditemui di kediaman di Pangsapuri Desa Ria, Taman Medan.

Dalam kejadian kira-kira 4,30 pagi petang hari Khamis yang lepas, 22 pelajar tahfiz yang berusia antara 6 hingga 12 tahun telah maut dalam tragedi suboh yang telah memusnahkan sebahagian pusat tahfiz tersebut.

Menurut Nur Mohd Razali, Ketua Pegawai Eksekutif, menyatakan bantuan ini merupakan satu inisiatif YIDE dalam menyumbang tenaga dengan memberi bantuan khususnya kepada rakyat negeri Selangor bagi meringankan beban setiap waris keluarga dan memberi khidmat kaunseling dalam menaikan kembali semangat semua waris yang telah kehilangan orang tersayang.

Tambah beliau lagi, program ini merupakan satu aktiviti kemasyarakatan atau tanggungjawab sosial korporat YIDE kepada masyarakat setempat khususnya masyarakat di negeri Selangor. Beliau turut memohon kepada khususnya masyarakat diluar sana untuk menyalurkan bantuan terus kepada waris keluarga mangsa supaya bantuan yang diniatkan terus sampai kepada waris supaya tiada orang yang akan mengambil kesempatan didalam kesulitan yang dialami.

Selain memberi bantuan bencana kepada rakyat negeri Selangor, YIDE juga berperanan menguruskan hal ehwal anak yatim di negeri Selangor ini dengan melaksanakan program-program agihan sumbangan kewangan, bantuan pendidikan, dan YIDE juga menawarkan perkhidmatan Rawatan Hemodialisis yang dikawal selia oleh Pusat Dialisis MAIS.

YIDE akan terus menyampaikan sumbangan kebajikan kepada rakyat negeri Selangor dalam menjadikan negeri Selangor sebuah negeri yang berkebajikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *