Perutusan Pengerusi


Perutusan Pengerusi

Assalamualaikum W.B.T

Kami panjatkan segala puji bagi Allah dan kami meminta pertolongan-Nya. Memohon keampunan dan meminta perlindungan-Nya dari segala keburukan jiwa dan dari segala keburukan amal. Barang siapa yang telah Allah tunjukkan jalan baginya, maka tiada yang boleh menyesatkannya. Dan barang siapa yang telah Allah sesatkan jalannya, maka tiada yang boleh memberinya petunjuk. Ya Allah limpahkanlah selawat da salam bagi junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W beserta keluarga dan sahabat-sahabatnya.

Bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T, kerana dengan limpah kurnia-Nya kita masih lagi dapat dipertemukan pada kali ini serta kita masih lagi dimurahkan rezeki. Alhamdulillah, Yayasan Islam Darul Ehsan kini sedang giat menjalankan aktiviti-aktiviti perancangan permulaan dan akan diteruskan dengan perancangan-perancangan lanjut yang bermanfaat kepada umat Islam Selangor khususnya dan negara seluruhnya. Saya melihat bahawa perjalanan Yayasan ini bakal membantu golongan yang amat memerlukan belas ihsan daripada masyarakat yang prihatin.

Disamping itu juga, Yayasan membantu golongan yang berkemampuan bagi mencapai kebajikan dan kebaktian yang sempurna yang mana Islam telah menganjurkan umatnya supaya menafkahkan sebahagian harta yang disayamgi, sebagaimana ayat Al-Quran yang bermaksud:

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka Allah mengetahuinya”.

(Surah Ali-Imran: 92)

Di sini amat jelas bahawa Islam adalah agama yang menggariskan cara hiudup yang sempurna bagi manusia, selagi mana hasil usaha kita berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Islam sebagai agama yang praktikal dan rasional dalam apa jua situasi kehidupan manusia. Kepercayaan kepada Iman, Islam dan Ehsan menjadikan individu itu sempurna dalam peribadatannya kepada Allah tanpa ragu-ragu kerana penumpuan ibadah tersebut hanya kepada Allah yang Esa.

Manakala kegembiraan, keriangan, kemewahan dan kekuatan tidak boleh dipisahkan dengan kedukaan, kesedihan, kemiskinan dan kelemahan dalam kehidupan dunia. Bahkan ia menekankan peri pentingnya hubungan baik sesama makhluk tuhan samada sesama umat Islam atau antara Islam dengan golongan bukan Islam. Hubungan ini membina asas kemaslahatan masyarakat saling menghormati satu sama lain tanpa mewujudkan sebarang bentik penindasan dan diskriminasi.

Alhamdulillah, kita ucapkan syukur sekali lagi kepada Allah S.W.T di mana negara kita Malaysia tidak tersenarai negara termiskin di dunia, malah Malaysia menjadi sebuah negara contoh kepada negara lain. Mahupun begitu, Yayasan Islam Darul Ehsan ditubuhkan demi menjaga kebajikan masyarakat Islam di Selangor khasnya dan Malaysia amnya, Yayasan ini akan memastikan kehidupan mereka yang ditimpa musibah dan malapetaka akan terbela dan kesinambungan kehidupan mereka akan terjamin.

Selanjutnya, Yayasan Islam Darul Ehsan dapat membantu negeri Selangor dalam melaksanakan kebajikan bagi merealisasikan impian golongan yang memerlukan. Justeru itu, halatuju Yayasan ini diharapkan dapat sokongan yang padu daripada seluruh masyarakat yang prihatin. Semoga golongan yang prihatin ini menjadi sebahagian “tangan yang memberi” bertepatan dengan dalil Al-Quran:

“Bandingan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah (perbelanjaan derma) iaitu seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui”.

(Surah Al-Baqarah: 261)

Akhirnya, saya amat berharap Yayasan Islam Darul Ehsan akan terus berjaya dalam usahanya memelihara Maqasid Syar’iyah umat Islam seluruhnya demi memartabatkan Islam sebagai cara hidup yang menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Sekian, Wassalam.

DATO’ SETIA HJ. MOHAMAD ADZIB BIN MOHD. ISA

Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan